Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF)

Pengenalan

Satu inisiatif di bawah NKRA UPT (Pengangkutan Awam Bandar Bidang Keberhasilan Utama Negara), ISBSF diwujudkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bas dan menggalakkan rakyat untuk menggunakan bas sebagai mod pengangkutan yang berkesan. Inisiatif ini bertindak sebagai langkah sementara untuk membantu pengendali bas berhenti-henti yang terjejas ekoran daripada peningkatan kos operasi terutamanya di laluan sosial (atau yang kurang menguntungkan).

Melalui penyediaan dana ini, APAD dapat memastikan operasi yang berterusan di laluan-laluan ini oleh pengendali sekaligus dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan bas sedia ada dan menggalakkan lebih ramai penumpang untuk menggunakan bas.

Semenjak 3 Januari 2012, kerajaan telah membelanjakan sejumlah lebih daripada RM400 juta untuk membantu pengendali bas berhenti-henti yang bersedia untuk meneruskan perkhidmatan mereka di laluan sosial. Pada tahun 2020, sejumlah 51 pengendali bas berhenti-henti telah mendapat manfaat ISBSF ini yang melibatkan 328 laluan di Semenanjung Malaysia.

Image
Image

Objektif ISBSF

Objektif ISBSF adalah untuk menampung kekurangan dalam operasi harian pengendali bas berhenti-henti bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan. Kedua, dana ini menggalakkan pengendali-pengendali bas berhenti-henti untuk mengaktifkan laluan yang telah ditamatkan perkhidmatan, dan mendorong pengendali dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dengan menambah kekerapan perjalanan dan memperbaiki keadaan bas.

Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST)

Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) telah diperkenalkan atas jenama myBAS pada tahun 2015 yang merupakan migrasi daripada perkhidmatan bas berhenti-henti oleh pengendali bas di ibu-ibu negeri di seluruh Malaysia. Perkhidmatan ini turut dirangka bagi memastikan penumpang memperolehi perkhidmatan bas sepanjang laluan sosial yang dahulunya kurang mendapat perhatian, di samping mengurangkan pertindihan laluan bas agar liputan perkhidmatan tersebut mencapai tahap optimum. SBST telah dilaksanakan di bandar tertentu iaitu Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu. Bas-bas di bawah inisiatif myBAS dilengkapi dengan sistem pengesanan dan pemantauan GPS yang merupakan syarat untuk semua pengendali yang mengambil bahagian dalam program ini. Sistem ini dikawal selia dan dipantau setiap hari oleh APAD di ibu pejabat APAD, Kuala Lumpur.

Image
Image

myBAS Kangar

Operasi myBAS di Kangar bermula pada 1 Ogos 2015 dan telah menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah penumpang. Perkhidmatan myBAS di Kangar juga telah meningkatkan akses dan liputan dari jumlah jarak laluan 124km kepada 337km. Ia menyediakan akses yang lebih baik kepada masyarakat bandar dan luar bandar melalui penyediaan 6 laluan utama dan 4 laluan perantara

myBAS Seremban

Perkhidmatan MyBAS Seremban mula beroperasi pada Januari 2016 dan merangkumi sejumlah 21 laluan (17 laluan utama dan 4 laluan perantara) berbanding 19 laluan sebelum ini dan meliputi jarak 656km berbanding 459km yang sedia ada.

Image
Image

myBAS Ipoh

Perkhidmatan myBAS Ipoh Fasa 1 telah bermula pada 1 Jun 2016 dan Fasa 2 pada 1 September 2016. Perkhidmatan  myBAS Ipoh meliputi jarak laluan sejumlah 312 km berbanding 132 km sebelum ini dan menawarkan 12 laluan utama dan 7 laluan perantaraan (feeder). Pada Februari 2018, perkhidmatan myBAS Ipoh 2.0 telah diperkenalkan yang merangkumi 16 laluan (11 laluan utama dan 5 laluan perantara) dan meliputi 368km.

Perkhidmatan myBAS di Ipoh menawarkan  penambahbaikan dari segi integrasi, pengenalan rangkaian laluan bas yang lebih luas serta menjadikan perkhidmatan bas yang boleh dipercayai untuk pengguna. 

myBAS Kuala Terengganu

Perkhidmatan myBAS Kuala Terengganu Fasa 1 telah beroperasi pada 11 Mac 2018. Laluan-laluan utama baru iaitu T102 dari Kuala Terengganu ke Jeti Merang dan T301 dari Kuala Terengganu ke Marang, bersama-sama laluan T202 (Kuala Terengganu – Bukit Payung) dan F100 (laluan pengantara Kuala Terengganu) yang telah mula beroperasi 1 Mac lalu, akan melengkapkan pelaksanaan Fasa 1 myBAS Kuala Terengganu, dengan jarak terkumpul hampir 100km. Sebelas (11) bas mini berkapasiti 38 penumpang, telah disediakan bagi pelaksanaan Fasa 1 ini.

Image
  • Dikemaskini pada: 19 Feb 2021
  • Cetak
  • 653